Wednesday 19 September 2012

pelajar perempuan koma sejak enam hari


*Gambar Sekadar Hiasan

SUNGAI SIPUT: Seorang pelajar perempuan koma sejak enam hari lalu apabila motosikal ditungganginya terjerumus ke dalam lubang ketika dalam perjalanan ke sekolah, pagi Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa, Nor Amirah Ghazali, 18, dari Rancangan Perumahan Awam (RPA) Lasah, parah di kepala selepas terbabit kemalangan di Jalan Lintang berhadapan Taman Lintang Perdana.



Difahamkan, kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa gagal mengelak lubang di laluan yang tidak diturap dengan sempurna menyebabkan mangsa terpelanting.

Mangsa yang juga pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Tok Muda Abdul Aziz terpaksa dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, selepas mengalami pendarahan di kepala, selain keadaan tulang tengkuk yang retak teruk.

Bagaimanapun mangsa menunjukkan perkembangan positif, termasuk sudah mampu menggerakkan kaki dan tangan biarpun masih gagal membuka mata serta bercakap.

Bapa mangsa, Ghazali Ismail, 59, ketika dihubungi semalam berkata, anaknya kini masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan membimbangkan biarpun doktor mengesahkan sudah berjaya mengeluarkan darah beku berkenaan.

Dia dan isteri, Khairul Bariah Mohd Noor, 54, tidak henti berdoa dan berharap anak bongsunya itu segera pulih dan dapat meneruskan alam persekolahan seperti biasa.


“Buat masa ini, kami masih bimbangkan keadaannya. Doktor yang merawat Amirah juga dijangka membuat imbasan pada bahagian tengkuknya.

Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Sungai Siput bagi membolehkan siasatan dilakukan berkaitan laluan berbahaya itu sehingga mengundang kecederaan kepada anak saya,” katanya.

Dia juga akan mengambil tindakan udang-undang terhadap pihak yang membiarkan laluan itu tidak diturap dengan baik sehingga mengundang kemalangan serius.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam yang melawat lokasi kejadian kesal tindakan pihak tertentu membiarkan laluan itu rosak dan tidak berturap.

Saya meminta agensi berkaitan peka dengan masalah laluan tidak berturap dan mendap di beberapa laluan utama di daerah ini kerana ia boleh mengundang kemalangan kepada pengguna jalan raya.
“Saya sudah melawat lokasi kejadian itu dan mendapati laluan berbahaya itu masih mendap dan rosak biarpun ia sudah diturap dengan tar sehari selepas insiden itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/19Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment